BUKU TERKINI

Friday

HARI INI ADALAH HARI TERBAIK ANDA


"Jadikanlah hari ini adalah hari yang paling bahagia dan terbaik untuk diri anda."

Kita kadangkala terlalu memandang ke hadapan sehingga kita lupa apa yang perlu dilakukan hari ini. Mengapa kita tidak menjadikan hari ini merupakan hari yang paling bahagia di dalam kehidupan kita?

Kunci kejayaan seseorang adalah kesanggupannya untuk melakukan dan melaksanakan setiap perkara yang kecil bermula dari hari ini, bukannya esok. Hari ini adalah mikrokosme kehidupan anda. Anggaplah anda dilahirkan apabila anda bangun dan mati apabila anda tidur. Oleh itu buatlah yang terbaik untuk hari ini! Jangan tangguhkan perkara-perkara yang boleh memberikan kebahagiaan kepada anda.

Masalah kita adalah kita tidak ingin berfikir dengan cara begini. Kita lebih suka menangguhkan kerja-kerja kita. Apabila kita ditanya adakah hari ini boleh digunakan untuk mengukur keseluruhan kehidupan, kita akan menjawab: “Oh tidak! Hari ini bukanlah hari terbaik saya. Berikan saya setahun dua lagi, saya akan lakukan yang terbaik.”

Mengapa kita tidak menjawab begini: “Ya, silakan. Saya dapat rasakan hari ini adalah hari yang terbaik di dalam kehidupan saya.”

YANG TAK OK

YANG OK

Adakah hari ini boleh digunakan untuk mengukur seluruh kehidupan anda?

“Oh tidak! Hari ini bukanlah hari terbaik saya. Berikan saya setahun dua lagi, saya akan lakukan yang terbaik.”

Adakah hari ini boleh digunakan untuk mengukur seluruh kehidupan anda?

“Ya, silakan. Saya dapat rasakan hari ini adalah hari yang terbaik di dalam kehidupan saya.”

Kehidupan adalah SEKARANG, bukannya esok, lusa ataupun tulat.Jadi, jangnlah berlengah lagi. Lakukan yang TERBAIK untuk HARI INI!

Thursday

KUAT vs LEMAH


"Dua sifat semula jadi manusia yang ada pada setiap individu ialah kekuatan dan kelemahan. Kekuatan dan kelemahan ini mempengaruhi kehidupan manusia melalui tiga aspek iaitu aspek mental (fikiran), fizikal (anggota) dan spiritual (semangat)."


Kerapkali kekuatan seseorang itu dikaitkan dengan saiz dan bentuk tubuh badannya. Dari penilaian di atas maka satu tanggapan akan dibuat bahawa seseorang yang berbadan besar dan tegap mempunyai keistimewaan yang lebih jika dibandingkan dengan diri sendiri.

Ada pula yang melihat kekuatan seseorang individu dari segi bangsa dan warna kulit. Sesuatu bangsa itu dianggap mempunyai keistimewaan yang tertentu berbanding dengan bangsa yang lain. Apabila kita melihat seorang yang berketurunan dari negeri barat, kita beranggapan ianya lebih istimewa dari kita.

Sebenarnya tangapan kita adalah salah. Kekuatan dan kelemahan diri bukannya terletak pada aspek fizikal sahaja tetapi terletak pada mental dan spiritual.

Banyak pepatah, bidalan dan cerita rakyat yang dianggap dongeng itu mempunyai nilai moral yang tinggi. Sejauhmanakah cerita arnab dan kura-kura yang boleh dikatakan telah dibaca oleh setiap individu sejak kecil lagi, begitu juga dengan perumpamaan seperti "Kecil jangan disangkakan anak, besar jangan disangkakan bapak", dan "Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit", dapat dijadikan satu ikhtibar untuk dicontohi sewaktu kita membuat muhasabah diri terutamanya dalam tugas kita seharian.

Implikasi cerita dan pepatah melayu itu dapatlah dijadikan satu refleksi terhadap kehidupan kita seharian bahawa:

  1. Setiap manusia mempunyai kekuatan dan kelemahan. Kita harus menerima hakikat bahawa setiap individu mempunyai kekuatan dan kelemahan. Kedua-duanya wujud dalam setiap diri manusia tidak mengira bangsa serta asal keturunannya.
  2. Kekuatan dan kelemahan bukan sahaja dari aspek fizikal tetapi juga mental dan spiritual. Kekuatan fizikal adalah lahir dari kekuatan mental dan spiritual (rohani, kejiwaan, keimanan). Seseorang tidak akan dapat melaksanakan sesuatu tugas dengan baik sekiranya fikiran dan jiwa tidak digabung dan dimantapkan. Kata-kata seperti "berkerja dengan sepenuh jiwa dan raga" membuktikan kepentingan kekuatan spiritual dalam kehiduapan manusia.
  3. Jangan persia-siakan kekuatan yang ada pada diri . Kekuatan merupakan keistimewaan, kebolehan atau potensi yang ada pada diri kita. Ianya haruslah dicungkil serta digunakan ke arah yang boleh membawa kebaikan kepada diri, keluarga, bangsa, agama, masyarakat dan juga negara.
  4. Jangan biarkan kelemahan membawa kekecewaan pada diri. Apa yang harus dilakukan ialah setiap kelemahan haruslah dijadikan sebagai satu panduan ke arah memperbaikinya. Dalam proses memperbaiki kita tidak boleh lepas dari cabaran sebelum menemui kejayaan. Kebanyakan kejayaan yang kita tempuhi adalah hasil daripada kelemahan yang telah kita lalui dan diperbaiki. Kejayaan akan tercapai melalui perancangan yang rapi yang harus dilaksanakan. Kejayaan tidak boleh dicapai dengan sekelip mata tanpa adanya perancangan. Tidak siapa pun yang "merancang untuk gagal tetapi ramai yang gagal merancang.

Dari huraian di atas maka kita haruslah membuat satu tanggapan bahawa setiap kekuatan dan kelemahan yang ada pada diri kita ini haruslah dilihat secara positif. Kekuatan dan kelemahan adalah merupakan sumber kemantapan ke arah kecemerlangan diri.

Kekuatan fizikal sahaja tidak menjamin membawa kejayaan bagi seseorang individu. Dua aspek lagi iaitu mental dan spiritual harus digabungkan ke arah mewujudkan insan yang seimbang.

Wednesday

JADILAH SEORANG YANG BERWAWASAN

Saya berasa teruja apabila melihat angkasawan negara berjaya sampai ke ISS dan menjalankan beberapa eksperimen di angkasa lepas. Setiap kali siaran langsung mengenai angkasawan tersebut ditayangkan saya akan berada di hadapan televisyen dan mendengar setiap kata-kata angkasawan tersebut. Antara perkara yang disebut oleh Sheikh Muzafar adalah dia sudah lama memasang impian untuk menjadi seorang angkasawan. Sejak dari kecil lagi dia telah bercita-cita untuk menakluk angkasa.

Melalui angkasawan negara ini, saya mendapat idea bahawa untuk berjaya seseorang itu perlu mempunyai wawasan, cita-cita dan impian untuk berjaya.

Idea ini saya sampaikan kepada pelajar-pelajar di dalam kelas saya dan saya lihat ada seorang pelajar perempuan yang begitu fokus mendengar kata-kata saya tersebut. Sebelum saya keluar dari kelas, saya memberikan tugasan kepada semua pelajar untuk memberikan ucapan di dalam bahasa Arab dua hari selepas itu.

Pada hari yang dijanjikan, saya sampai awal di pintu kelas dan saya melihat ada dua orang pelajar perempuan sedang berlatih memberikan ucapan dalam bahasa Arab dan saya dapat mendengar perbualan mereka dari luar kelas.

Pelajar A:
”Raudhah (bukan nama sebenar), aku rasa tak yakinlah nak bagi ucapan dalam bahasa Arab hari ni. Cuba kau tengok ni, menggeletar tangan aku pegang teks ucapan ni.”

Pelajar B:

“Kau boleh, aku yakin kau boleh sampaikannya dengan baik.”

Pelajar A:

“Tak bolehlah Raudhah. Aku ni ada darah gemuruh.”

Pelajar B:

“Cuba kau dengar cakap aku! Sekarang kau cuba pejamkan mata. Bayangkan diri kau seperti Ustazah Siti Nor Bahyah. Bayangkan kau sedang berceramah di hadapan puluhan ribu orang. Kau dah bayangkan?”

Pelajar A:

”Dah!”

Pelajar B:

”Sekarang ini cuba kau sampaikan ucapan yang telah kau hafal semalam. Berikan ucapan dengan penuh bersemangat seperti Ustazah Siti Nor Bahyah.”

Pelajar A tadi memulakan ucapannya dengan lancar dan penuh bersemangat.

Pelajar B:

“Ha...kan aku dah kata, sekiranya kita dapat membayangkan sesuatu kita akan dapat melakukannya.”

Pelajar A tersenyum dan mengucapkan terima kasih kepada kawannya.

Saya berasa terkejut dengan apa yang dilakukan oleh pelajar tersebut dan saya mendapat pengajaran bahawa kita tidak dapat lakukan sesuatu sekiranya kita tidak menggambarkan bahawa kita sedang melakukan perkara tersebut. Wawasan merupakan perkataan lain bagi gambaran tentang diri kita. Apabila kita menggambarkan seseuatu tentang diri kita, kita sebenarnya sedang membentuk diri kita ke arah apa yang diinginkan.

Tuesday

KUASA GEMBIRA

Apabila anda mengatakan anda takut kepada kematian, anda sebenarnya mengatakan bahawa anda takut untuk tinggal atau hidup di dalam kehidupan yang bukan hakiki. Bagaimanakah caranya untuk anda mengetahui kehidupan yang hakiki? Bagaimanakah caranya untuk anda hidup di dalamnya? Jawapan bagi persoalan ini terletak kepada anda, tetapi anda perlu mencarinya dan tidak menunggu orang lain memberikan jawapan kepada anda. Tiada sesiapa pun yang mampu untuk memberikan jawapannya kecuali diri anda sendiri.

Apakah yang menjadikan anda bahagia? Bagi menjawab persoalan ini, adalah perlu mencari di mana dan bagaimana anda boleh membantu orang lain. Anda tidak boleh hidup di dalam kehidupan yang hakiki selagi mana anda tidak berkhidmat untuk masyarakat, dan anda tidak berkhidmat dan membantu orang lain sekiranya anda berada dalam keadaan sedih.

Apakah yang menggembirakan dan membahagiakan anda? Terpulanglah kepada anda. Sesetengah orang menganggap mendidik boleh menjadikannya bahagia dan gembira. Ada pula yang mengatakan melalui penulisan dia merasakan dirinya gembira. Terpulanglah kepada anda untuk menentukannya kerana anda sahaja yang tahu perkara yang boleh menggembirakan anda.

Sesetengah orang keliru dan percaya bahawa tinggal di dalam kehidupan yang hakiki adalah sentiasa bernasib baik dan berjaya untuk mendapatkan pekerjaan dan bos yang baik. Sebenarnya anda boleh tinggal di mana sahaja, dalam apa jua pekerjaan dan dengan mana-mana bos. Apa yang penting adalah anda sentiasa gembira dan ceria melakukan perkara-perkara tersebut.

Apa jua matlamat yang ingin anda capai, anda akan memperolehinya 10 kali lebih pantas sekiranya anda berada di dalam keadaan gembira Anda mungkin tertanya bagaimana orang yang terlibat dengan multilevel marketing boleh berjaya sedangkan anda yang telah menyertai lebih 10 MLM masih belum berjaya. Mungkin anda mengatakan dia berjaya kerana dia rajin, banyak menjual dan memperolehi banyak duit. Sebenarnya tidak. Orang yang terlibat dengan MLM tadi berjaya kerana dia sentiasa gembira dengan pekerjaan yang dia lakukan. Oleh itu, buatlah perkara-perkara yang boleh membuatkan anda gembira dan akan melakukannya dengan penuh keghairahan dan keikhlasan.

Sekiranya anda gagal untuk mewujudkan perasaan gembira di dalam diri anda, anda tidak mungkin akan dapat melakukan sesuatu perkara yang luarbiasa dan anda tidak akan mempunyai kuasa untuk membentuk masa depan.