BUKU TERKINI

Tuesday

RUPA & WAJAH

Abad ke abad dunia berubah
ada rupa nusa-nusa bertukar wajah
manusia yang bina peradabannya
kekadang ada rekah pada rupa
tidak cambah benih wajah budaya
biak subur ke segenap ladang jiwa.

Ratusan tahun bahasa Melayu
lalui masa berkembang tidak lesu
agung bahasa itu seagung bahasa ilmu
menajami halus senjata komunikasi
hebat gema serantau seindah bunyi
ratusan tahun persuratan Melayu abadi
ghairah megah kukuh tapak berdiri
di tangan pemikir ulama hukama
kitab-kitab ditulis terhimpun minda
ditatap orang para pelajar menadah
di riba dibaca rata-rata menelaah
tradisi ilmuannya tiada kenal muflis
tidak dikikis tidak terhakis habis
lahir pesantren harum nama pondok
langit akal terjunjung tanpa runduk
bumi berpijak laksana resmi padi
sifatnya dikenali setiap benua insani.

Zaman ke zaman bahasa Melayu maju
limpah persuratannya memenuhi penjuru
luas medan fikir jadi cakerawala kebudayaan
riak-riak bijak jadi gelombang perubahan
terima yang terbaik jadi kukuh akal budi
desa tradisi lisan jadi kota hikayat bahari
martabat kreatif cerna karya riwayat asasi
dari roman ke novel dari cerpen ke puisi
itu jadi makna pemikiran yang tinggi.

Abad 20, abad Melayu berani
berjuang sampai merdeka pertiwi
maju segala lapangan mewarnai hidup
tahu antara isi peradaban dan bentuk
masuk abad baru, dunia Melayu kelu
lidah kekaguman orang mulai bisu
kita kehilangan ghairah kalbu
entah ke mana keyakinan
entah di mana keupayaan
dalam daya saing bahasa
dalam istimewa hikmah persuratannya
tidak terurus daya juang para ketua
tidak terterus kajian di tangan benua.

Kita biarkan selera diri hilang lebur
di lidah bangsa sendiri bicara terkubur.
Merdeka! Tetap merdeka!
dirgahayu nusa bangsa
apa-apakah tersohor bagi kita megah
setelah kita kehilangan masa yang punah
satu persatu milik kita musnah menanah
kita akan hilang rupa dan wajah.

A AZIZ DERAMAN
DBP Kuala Lumpur

Monday

BERTINDAK BALASLAH!

Terdapat perbezaan yang ketara antara rehat yang aktif dan rehat yang negatif. Apabila kita bermain PS3, catur dan permainan-permainan lain kita sebenarnya sedang berinteraksi secara tidak langsung dengan minda. Kesemua aktiviti-aktiviti ini meningkatkan kreativiti dan intelektual seseorang.

Rehat yang aktif akan memberikan kesegaran kepada minda. Winston Churchill melukis untuk merehatkan diri manakala Albert Einstein bermain viola untuk memberi kesegaran dan ketenangan kepada dirinya. Apabila mereka memulakan pekerjaan, mereka memulakannya dengan penuh kesegaran dan lebih meyakinkan.

Kebanyakan kita menghentikan peranan minda dengan tujuan untuk berehat. Kita menyangkakan berehat tidak memerlukan penggunaan minda. Oleh sebab itu, kita menghabiskan masa untuk berehat dengan menonton wayang, minum, makan, dan merokok yang menyebabkan fikiran lebih berserabut. Rehat dengan cara begini dinamakan sebagai rehat yang negatif. Masalah kepada rehat yang negatif adalah ianya menumpulkan kreativiti dan menjadikannya susah untuk dipulihkan.

Berfikir adalah perkara paling susah yang kita lakukan di mana tidak ramai orang yang suka melakukannya. Tetapi, sekiranya kita mengetahui jalan untuk mengaitkan berfikir dengan berehat, kehidupan kita akan menjadi lebih tenang dan bahagia.

Prinsip untuk bertindak balas di dalam kehidupan tidaklah sama seperti mana kita bertindak balas dengan permainan video. Apabila kita telah menyedari sepenuhnya prinsip ini, kita akan menemui jalan untuk kita lebih bertindak balas walau di mana sahaja berada.

Kebanyakan kita mempunyai ahli keluarga dan apabila mereka cuba bercakap, kita dengan mudahnya menganggap kita mengetahui apa yang bakal mereka perkatakan. Keadaan ini menyebabkan tahap kesedaran kita menurun. Mengapa kita tidak cuba untuk mendengar dan bertindak balas terhadap apa yang mereka perkatakan?

Sunday

JANGAN BERHENTI BERFIKIR

Motivasi akan datang melalui berfikir. Setiap tindakan yang kita ambil adalah hasil dari fikiran yang memberi inspirasi untuk kita bertindak. Apabila kita berhenti untuk berfikir, kita sebenarnya cuba untuk menghilangkan motivasi kita untuk bertindak. Kita kadangkala bersikap pesimis di mana sikap ini boleh menyebabkan kita kurang berfikir. Sebab itulah, apabila kita kurang berfikir, kita akan mendapat penyakit nyanyuk.

Anda nak tahu cerita tentang orang yang pesimis? Suatu hari, seorang lelaki yang bersikap pesimis telah berfikir untuk membersihkan garajnya. Pada hari itu dia bangun dan terus pergi ke garaj. Apabila dia sampai di garaj dia terkejut apabila melihat garajnya terlalu kotor, kotak-kotak bersepah, minyak motor tertumpah, dan sampah bertaburan di atas lantai. Dia pun berkata: “Ah...lupakanlah, mustahil ada orang yang boleh membersihkan garaj ini dalam masa sehari.” Lelaki tersebut meninggalkan garaj dan terus ke biliknya untuk menyambung tidur.

Orang yang pesimis adalah orang yang malas untuk berfikir. Jika anda ingin berjaya tukarkanlah baju anda yang tercatat perkataan PESIMIS dan pakai baju yang tertulis OPTIMIS. Sekarang mari kita lihat bagaimana orang yang optimis berhadapan dengan masalah yang sama. Seorang yang bercadang untuk membersihkan garajnya telah bangun awal pergi. Apabila dia sampai di garaj dia pun berkata: ”Kerja ini memang tak boleh disiapkan dalam masa sehari, tetapi aku harus membahagikan kerja-kerja pembersihan ini kepada empat fasa. Hari ini aku akan menyiapkan dua fasa dan esok aku akan selesaikan bakinya.”

Lihat, orang yang optimis sentiasa berfikir untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Apa yang penting sekarang adalah jangan berhenti berfikir. Rancangkan setiap perkara yang ingin anda lakukan dan perancangan kebiasaannya memerlukan anda untuk berfikir.