Kerapkali kekuatan seseorang itu dikaitkan dengan saiz dan bentuk tubuh badannya. Dari penilaian di atas maka satu tanggapan akan dibuat bahawa seseorang yang berbadan besar dan tegap mempunyai keistimewaan yang lebih jika dibandingkan dengan diri sendiri.
Sebenarnya tangapan kita adalah salah. Kekuatan dan kelemahan diri bukannya terletak pada aspek fizikal sahaja tetapi terletak pada mental dan spiritual.
Banyak pepatah, bidalan dan cerita rakyat yang dianggap dongeng itu mempunyai nilai moral yang tinggi. Sejauhmanakah cerita arnab dan kura-kura yang boleh dikatakan telah dibaca oleh setiap individu sejak kecil lagi, begitu juga dengan perumpamaan seperti "Kecil jangan disangkakan anak, besar jangan disangkakan bapak", dan "Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit", dapat dijadikan satu ikhtibar untuk dicontohi sewaktu kita membuat muhasabah diri terutamanya dalam tugas kita seharian.
Implikasi cerita dan pepatah melayu itu dapatlah dijadikan satu refleksi terhadap kehidupan kita seharian bahawa:
- Setiap manusia mempunyai kekuatan dan kelemahan. Kita harus menerima hakikat bahawa setiap individu mempunyai kekuatan dan kelemahan. Kedua-duanya wujud dalam setiap diri manusia tidak mengira bangsa serta asal keturunannya.
- Kekuatan dan kelemahan bukan sahaja dari aspek fizikal tetapi juga mental dan spiritual. Kekuatan fizikal adalah lahir dari kekuatan mental dan spiritual (rohani, kejiwaan, keimanan). Seseorang tidak akan dapat melaksanakan sesuatu tugas dengan baik sekiranya fikiran dan jiwa tidak digabung dan dimantapkan. Kata-kata seperti "berkerja dengan sepenuh jiwa dan raga" membuktikan kepentingan kekuatan spiritual dalam kehiduapan manusia.
- Jangan persia-siakan kekuatan yang ada pada diri . Kekuatan merupakan keistimewaan, kebolehan atau potensi yang ada pada diri kita. Ianya haruslah dicungkil serta digunakan ke arah yang boleh membawa kebaikan kepada diri, keluarga, bangsa, agama, masyarakat dan juga negara.
- Jangan biarkan kelemahan membawa kekecewaan pada diri. Apa yang harus dilakukan ialah setiap kelemahan haruslah dijadikan sebagai satu panduan ke arah memperbaikinya. Dalam proses memperbaiki kita tidak boleh lepas dari cabaran sebelum menemui kejayaan. Kebanyakan kejayaan yang kita tempuhi adalah hasil daripada kelemahan yang telah kita lalui dan diperbaiki. Kejayaan akan tercapai melalui perancangan yang rapi yang harus dilaksanakan. Kejayaan tidak boleh dicapai dengan sekelip mata tanpa adanya perancangan. Tidak siapa pun yang "merancang untuk gagal tetapi ramai yang gagal merancang.
Dari huraian di atas maka kita haruslah membuat satu tanggapan bahawa setiap kekuatan dan kelemahan yang ada pada diri kita ini haruslah dilihat secara positif. Kekuatan dan kelemahan adalah merupakan sumber kemantapan ke arah kecemerlangan diri.
Kekuatan fizikal sahaja tidak menjamin membawa kejayaan bagi seseorang individu. Dua aspek lagi iaitu mental dan spiritual harus digabungkan ke arah mewujudkan insan yang seimbang.
No comments:
Post a Comment