Melalui angkasawan negara ini, saya mendapat idea bahawa untuk berjaya seseorang itu perlu mempunyai wawasan, cita-cita dan impian untuk berjaya.
Idea ini saya sampaikan kepada pelajar-pelajar di dalam kelas saya dan saya lihat ada seorang pelajar perempuan yang begitu fokus mendengar kata-kata saya tersebut. Sebelum saya keluar dari kelas, saya memberikan tugasan kepada semua pelajar untuk memberikan ucapan di dalam bahasa Arab dua hari selepas itu.
Pada hari yang dijanjikan, saya sampai awal di pintu kelas dan saya melihat ada dua orang pelajar perempuan sedang berlatih memberikan ucapan dalam bahasa Arab dan saya dapat mendengar perbualan mereka dari luar kelas.
Pelajar A:
”Raudhah (bukan nama sebenar), aku rasa tak yakinlah nak bagi ucapan dalam bahasa Arab hari ni. Cuba kau tengok ni, menggeletar tangan aku pegang teks ucapan ni.”
Pelajar B:
“Kau boleh, aku yakin kau boleh sampaikannya dengan baik.”
Pelajar A:
“Tak bolehlah Raudhah. Aku ni ada darah gemuruh.”
Pelajar B:
“Cuba kau dengar cakap aku! Sekarang kau cuba pejamkan mata. Bayangkan diri kau seperti Ustazah Siti Nor Bahyah. Bayangkan kau sedang berceramah di hadapan puluhan ribu orang. Kau dah bayangkan?”
Pelajar A:
”Dah!”
Pelajar B:
”Sekarang ini cuba kau sampaikan ucapan yang telah kau hafal semalam. Berikan ucapan dengan penuh bersemangat seperti Ustazah Siti Nor Bahyah.”
Pelajar A tadi memulakan ucapannya dengan lancar dan penuh bersemangat.
Pelajar B:
“Ha...kan aku dah kata, sekiranya kita dapat membayangkan sesuatu kita akan dapat melakukannya.”
Pelajar A tersenyum dan mengucapkan terima kasih kepada kawannya.
Saya berasa terkejut dengan apa yang dilakukan oleh pelajar tersebut dan saya mendapat pengajaran bahawa kita tidak dapat lakukan sesuatu sekiranya kita tidak menggambarkan bahawa kita sedang melakukan perkara tersebut. Wawasan merupakan perkataan lain bagi gambaran tentang diri kita. Apabila kita menggambarkan seseuatu tentang diri kita, kita sebenarnya sedang membentuk diri kita ke arah apa yang diinginkan.
No comments:
Post a Comment