Apa yang dimaksudkan dengan bahan kimia di sini bukanlah dadah ataupun pil ekstasi. Sebaliknya, bahan kimia yang dimaksudkan adalah kekuatan dalaman yang dimasukkan ke dalam sistem badan kita untuk menjadikan kita lebih gembira dan proaktif semasa kita bekerja, belajar dan sebagainya. Apabila kita berasa gembira, kimia badan akan berubah dan memberikan gelombang atau aura motivasi dan kekuatan.
Anda tidak perlu untuk keluar rumah bagi mencari keseronokan dan kegembiraan. Keseronokan dan kegembiraan tidak berada di luar rumah, sebaliknya ia datang dari dalam diri anda sendiri. Peluang untuk bergembira dan berseronok terdapat di dalam sistem tenaga anda iaitu gabungan antara hati dan minda (EQ dan IQ).
Orang-orang yang mengambil pil ekstasi selalu merasakan keseronokan dan kegembiraan itu adalah dari ekstasi tersebut. Sebenarnya kapasiti kegembiraan dan keseronokan telah berada di dalam diri mereka. Mengambil dadah untuk berseronok dan bergembira bukanlah satu tindakan yang bijak, sebaliknya ianya mencampakkan diri kita ke dalam kebinasaan. Jamal Abdilah, seorang bekas penagih dadah dan seorang penyanyi telah mendapati kehidupan lebih menarik dan menggembirakan setelah pulih dari penagihan dadah. Dia berkata: “Tidak ada apa-apa perasaan yang dirasai ketika mengambil dadah, perasaan yang kita ingini boleh kita dapati tanpa mengambil dadah.”
Memberikan komitmen kepada diri anda untuk mencari suara hati anda memerlukan anda untuk mengekalkan motivasi. Mulakanlah untuk mencari kesan suara hati anda kepada perasaan dan tenaga untuk belajar, bekerja, bersukan, dan beribadah. Kemudian, apabila anda telah menemui kegembiraan di dalam aktiviti yang anda lakukan maka carilah jalan untuk mengekalkannya. Sekali anda telah melakukan sesuatu aktiviti yang menyeronokkan, anda sebenarnya telah menyelesaikan masalah anda untuk melangkah ke gerbang kejayaan.
No comments:
Post a Comment