BUKU TERKINI

Tuesday

ADAKAH ANDA "SMART"?


Adakah anda seorang yang 'smart'? "’SMART" adalah satu perkataan akronim yang boleh dihuraikan seperti berikut:

· S (Sentiasa) – Sentiasa membawa pengertian sesuatu yang dilakukan itu perlulah secara konsisten atau berterusan. Kejayaan tidak boleh dicapai hanya dengan semalaman tetapi melalui ketekunan yang diamalkan setiap hari sedikit demi sedikit secara berterusan. Pepatah melayu ada mengatakan "Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit."

Usaha secara berterusan setiap hari dapat mengurangkan tekanan. Tekanan akan terasa sekiranya sesuatu tugasan itu dibuat hasil daripada tangguhan kerja dari masa yang lalu.


· M (Mahu) – Kemahuan adalah punca segala kejayaan. Ianya lahir dari jiwa yang suci. Kemahuan juga ada kaitannya dengan matlamat hidup. Seseorang yang mempunyai matlamat sama ada matlamat jangka panjang atau matlamat jangka pendek akan sentiasa bermotivasi dan berkeinginan untuk terus berusaha ke arah kejayaan berketepatanlah dengan pepatah melayu berbunyi " di mana ada kemahuan, di situ ada jalan."


· A (Ambil) - Segala keinginan tidak akan tercapai sekiranya kita tidak melakukannya. Dengan lain perkataan, sekiranya seseorang itu tidak mengambil inisiatif untuk melaksanakan segala yang diidamkan maka ianya hanya akan wujud dalam imaginasi dan ilusi sahaja. Oleh itu, tindakan harus diambil untuk merealisasikan matlamat yang menjadi hasrat dalam jiwa kita. "Bulat tidak akan datang bergolek dan pipih tidak akan datang melayang" tanpa usaha yang gigih.


· R (Risiko) - Risiko membawa maksud cabaran. Kehidupan ini penuh dengan cabaran. Seseorang yang inginkan kejayaan harus sanggup menghadapi cabaran. Cabaran dapat menggerakkan kita ke arah kehidupan yang lebih dinamik. Manusia ingin mendaki Gunung Everest kerana ianya penuh dengan cabaran. Cabaran juga akan mematangkan seseorang itu dalam meniti usianya.


· T (Tanggungjawab) - Tanggungjawab adalah sifat yang amat diperlukan pada setiap individu. Seseorang yang bertanggungjawab akan berusaha untuk melakukan sesuatu tindakan yang dapat memberi faedah kepada dirinya, keluarga, masyarakat dan negara. Seseorang yang bertanggungjawab juga akan cuba mengelak membuat sebarang tindakan yang boleh mendatang kerugian serta keburukan.

Dari huraian yang ringkas tadi kita dapati seseorang yang "SMART" adalah mereka yang sentiasa mahu ambil risiko dan bertanggungjawab. Sebagai seorang pelajar, anda perlulah sentiasa mempunyai keinginan untuk menimba ilmu pengetahuan tanpa rasa jemu. Dalam proses menimba ilmu pengetahuan sudah tentulah anda akan menempuh pelbagai cabaran.

No comments: