Apabila diamati dan dianalisis sirah Rasulullah s.a.w, kita akan mendapati bahawa baginda s.a.w merupakan seorang pemimpin yang telah menyusun strategi yang kemas dan mantap bagi memastikan Islam menjadi sebuah agama yang unggul dan agung. Antara strategi-strategi yang telah dipraktikkan oleh baginda adalah:
Strategi 1: Melakukan dakwah secara sirr
Pada peringkat awal penyebaran agama Islam, dakwah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w secara sirr (rahsia). Strategi bagi menyebarkan agama yang suci ini adalah dengan menyampaikannya terlebih dahulu kepada orang paling rapat dengan baginda, kaum keluarga serta teman-teman baginda. Mereka ini menganut agama Islam secara rahsia. Kaedah yang dilaksanakan oleh baginda s.a.w adalah dengan mengumpulkan mereka serta membimbing ke arah mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Antara orang terawal yang memeluk Islam adalah Abu Bakar As-Siddiq yang merupakan seorang lelaki yang mesra, disenangi, mudah untuk berbicara, berakhlak mulia dan selalu melakukan kebajikan.
Strategi 2: Sistem dakwah dan pendidikan yang berpusat
Di samping itu juga, proses dakwah ini juga dilaksanakan secara berpusat. Perkara ini adalah jelas sekali apabila kita melihat Nabi Muhammad s.a.w menjadikan rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam al-Makhzumi sebagai pusat dakwahnya dan tempat orang-orang Islam berkumpul. Pusat ini bukan sahaja sebagai pusat dakwah, bahkan juga ianya dijadikan sebagai satu pusat untuk mendidik, memberi kefahaman, memantapkan iman dan membawa manusia keluar dari lorong kegelapan ke arah lorong yang diterangi sinar cahaya.
Strategi 3: Menyemai benih ihsan di dalam hati para sahabat
Selain itu juga, antara strategi yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w adalah dengan menyemaikan benih ihsan di dalam hati para sahabat. Konsep ihsan yang ditekankan oleh Rasulullah adalah melakukan sesuatu hanya kerana Allah s.w.t dan yakin bahawa Allah sentiasa melihat amalan yang dilakukan oleh hamba-hambanya. Penerapan konsep ihsan ke dalam jiwa para sahabat ini telah melahirkan insan yang:
1- Ikhlas dalam setiap amalan dan tindakan.
2- Bersikap amanah terhadap tugas yang diberikan.
3- Menyakini bahawa Allah sentiasa mengawasinya.
4- Sentiasa bersungguh-sungguh dan jujur dalam setiap keadaan.
Strategi 4: Membentuk golongan pelapis yang berjiwa kental
Strategi seterusnya yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w adalah dengan membentuk golongan pelapis berjiwa kental dan berwibawa bagi menjamin kesinambungan perjuangan Islam. Antara anak muda yang terlibat dengan proses penyebaran agama Islam adalah Saidina Ali r.a. Kekentalan peribadi anak muda ini dapat kita lihat apabila beliau sanggup untuk tidur di atas katil Rasulullah s.aw ketika penjenayah-penjenayah besar Quraish telah melakukan persiapan untuk membunuh baginda s.a.w. Di saat-saat genting tersebut, baginda s.a.w telah berkata kepada Saidina Ali: ”Tidurlah di atas tempat tidurku, berselimutlah dengan selimut a-Hadrami yang berwarna hijau ini. Mereka tidak akan dapat melakukan apa-apa yang buruk terhadapmu.” Tanpa membantah, Saidina Ali melaksanakan misi tersebut dengan jayanya. Di sini kita dapat melihat bahawa penglibatan golongan muda dalam aktiviti dakwah adalah penting bagi memastikan kegemilangan dan kecemerlangan dakwah.
Strategi 5: Membentuk satu jemaah yang berstruktur dan berpasukan
Kekuatan Islam terletak kepada jemaah atau pasukan. Oleh yang demikian, Nabi Muhammad s.a.w telah memperkuatkan dan membina satu pasukan yang kuat yang terdiri di kalangan para sahabat. Antara ciri-ciri pasukan yang dibina oleh Rasulullah s.a.w adalah:
1- Menumpukan kepada matlamat jemaah atau pasukan iaitu untuk mengubah dunia dengan menegakkan Islam pada diri sendiri dan menyebarkannya seantero dunia.
2- Menerima ahli daripada pelbagai kemahiran dan latar belakang.
3- Fokus pada menjayakan tugasan bersama, mengkordinasikan kerja dan menyumbangkan kemahiran tersendiri.
4- Merancang dan merangka misi dakwah secara bersama.
Selain itu juga, setelah bai’ah dilaksanakan, Rasulullah s.a.w telah menyusun dan memperkuatkan lagi jemaah atau pasukan dengan memilih dua belas orang ketua yang akan menjadi naqib kepada kaumnya. Naqib atau istilah lainnya fasilitator (pemudahcara) bertanggungjawab sebagai seorang muallim, murabbi, dan mursyid kepada kaumnya.
Strategi 6: Membina perpaduan dan menyatukan umat
Sebaik sahaja tiba di Yathrib semasa peristiwa hijrah, Rasulullah s.a.w telah menyusun strategi untuk membina perpaduan di kalangan umat Islam. Baginda telah melancarkan satu sistem yang dikenali sebagai sistem muakhah (persaudaraan) dengan mempersaudarakan antara orang-orang Muhajirin dan Ansar. Antaranya, Rasulullah s.a.w telah mempersaudarakan Umar al-Khattab dengan Zaid b. Harithah dan Abu Ubaidah b. Al-Jarrah dengan Saad b. Muaz.
Strategi yang dilakukan oleh baginda ini sebenarnya telah memberikan momentum yang kuat kepada sebuah negara baru pada masa tersebut. Hasilnya, Madinah menjadi sebuah yang kuat walaupun umat Islam terpaksa menghadapi ancaman dan sekatan daripada musuh di setiap penjuru.
Strategi 7: Memanfaatkan segala bentuk kepakaran
Setiap para sahabat mempunyai kepakaran mereka yang tersendiri. Oleh itu Rasulullah s.a.w memanfaatkan dengan sebaik mungkin kepakaran mereka bagi menjayakan misi dakwah. Ketika di dalam peperangan khandaq, setelah mengadakan sidang majlis rundingan, Rasulullah s.a.w bersama para sahabat yang lain telah bersepakat untuk menerima idea, pengalaman dan kepakaran Salman al-Farisi r.a. Salman al-Farisi r.a telah mencadangkan agar mempertahankan kota Madinah dengan mengorek parit mengelilinginya. Maka selepas itu Rasulullah s.a.w telah mengarahkan kepada setiap sepuluh orang lelaki supaya menggali parit seluas 40 hasta. Ketika itu juga, di bawah kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w, orang-orang Islam dengan cergasnya menggali parit. Rasulullah s.a.w mendorong semangat mereka dan turut serta menggali parit tersebut. Di sini kita dapat melihat bahawa Rasulullah s.a.w memanfaatkan segala bentuk kepakaran yang ada bagi mencapai kejayaan.
BUKU TERKINI
Sunday
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment