BUKU TERKINI

Monday

Lakaran visi dan misi Rasulullah s.a.w

Nabi Muhammad s.a.w adalah manusia hebat yang mempunyai visi yang agung iaitu untuk melihat manusia sentiasa mengabdikan diri kepada Allah s.w.t dan melakukan kebaikan dan mentaati perintahNya bagi mendapat kesejahteraan di dunia dan akhirat.
Sebelum diutus menjadi utusan Allah, baginda sering berkunjung ke Gua Hira’ bagi mencari visi kehidupan yang hakiki tatkala melihat keadaan masyarakat jahiliyyah pada masa tersebut yang menyembah berhala, melakukan pembunuhan antara kabilah, saling berdendam, merendahkan martabat wanita dan tidak mempunyai visi yang membawa manusia ke arah kebaikan dan kesejahteraan.

Nabi Muhammad s.a.w juga selalu memikirkan perkara berikut:
1-Mengkaji secara mendalam kehidupan dan mengamati keindahan, kekuasaan dan ciptaan Allah s.w.t dalam setiap kejadian. Apabila melaksanakan kajian mendalam terhadap langit dan bintang serta menimbang secara saksama tentang makhluk di bumi, baginda mencapai matlamatnya menuju puncak makrifat yang paling tinggi. (Visi)

2-Merenungi tanggungjawab berat yang harus dipikulnya apabila berlakunya kerosakan dan kehancuran masyarakat manusia pada masa tersebut. Baginda berfikir cara untuk mengatasi masalah yang sedang membelenggu masyarakat jahiliyyah pada ketika itu. (Misi)

Berdasarkan apa yang difikirkan oleh Nabi Muhammad s.a.w, kita akan mendapati bahawa baginda mempunyai visi yang mulia iaitu membawa manusia ke arah pengabdian diri kepada Allah s.w.t. Bagi melaksanakan visi tersebut, baginda juga memikirkan misi dan solusi bagi mengatasi masalah ketuhanan dan kemasyarakatan yang sedang membelenggu masyarakat jahiliyyah pada ketika itu.

Walaupun masyarakat pada masa tersebut bergelumang dengan amalan-amalan yang syirik, tahyul dan tidak bertamadun, tetapi Rasulullah s.a.w tidak terpengaruh dengan amalan-amalan tersebut kerana baginda mempunyai visi yang jelas yang telah disuluh oleh cahaya wahyu Allah s.w.t.

Visi yang jelas ini telah menjadikan baginda s.a.w tidak takut, terikut dan tertarik dengan ancaman-ancaman dan tawaran-tawaran menarik yang telah diberikan oleh pemimpin Quraisy pada ketika itu sekiranya meninggalkan dakwahnya. Suatu hari, bapa saudara nabi telah datang bertemu nabi dan menyatakan tawaran harta, pangkat, wanita dan kedudukan oleh pemimpin-pemimpin Quraisy sekiranya Rasulullah s.a.w menghentikan dakwah dan ajarannya. Baginda menjawab: “Andai mereka meletakkan matahari di sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku dengan harapan aku meninggalkan perjuangan ini, sudah pasti aku tidak akan tinggalkan walaupun aku akan binasa kerananya.” Lihat, visi yang jelas tidak menjejaskan keutuhan aqidahnya bak ikan di laut. Walaupun air di sekelilingnya masin, tetapi rasa masin tersebut tidak mampu meresap masuk ke dalam ikan tersebut.

Dr. Marcus Dods, pengarang buku Mohammad, Buddha and Christ telah menyebut di dalam bukunya bahawa Nabi Muhammad s.a.w mempunyai dua ciri kenabian yang hebat:
1-Beliau dapat melihat dengan jelas kebenaran Tuhan yang tidak dapat dilihat oleh orang lain. (Visi yang jelas).

2-Memiliki semangat dalaman yang tinggi untuk menyebarkan kebenaran tersebut. (Semangat yang membara untuk melaksanakan misi).

Visi dan misi yang telah di bawa oleh Nabi Muhammad s.a.w ini telah memberikan kesan yang positif terhadap umat Islam dan baginda telah berjaya mengubah dunia dalam masa yang singkat.

Visi dan misi Rasulullah s.a.w :

Kehidupan Masyarakat Jahiliyyah
1-Menyembah berhala.
2-Mempercayai amalan khurafat dan tahyul seperti:
•Mendatangkan hujan dengan membakar sapi.
•Memukul kepala sapi jantan bagi membolehkan sapi betina minum.
•Apabila tersesat jalan ketika menempuh padang pasir, mereka akan memakai baju secara terbalik.
•Sekiranya bayi meninggal, mereka percaya bahawa dia akan hidup lagi apabila si ibu melangkah sebanyak tujuh kali seorang tokoh yang terbunuh.
3-Bunuh-berbunuhan antara kabilah
4-Merendahkan martabat wanita dan sistem perkahwinan yang tidak adil.

Visi
1-Membawa manusia ke arah mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.
2-Membawa manusia ke arah mengabdikan diri kepada Allah s.w.t dan mempercayai kekuasaanNya terhadap sesuatu.
erta membersihkan fikiran mereka dari kepercayaan tahyul dan karut-marut.
3-Membina perpaduan di kalangan masyarakat
4-Menjunjung dan mengangkat tinggi martabat wanita.

Misi
1-Menghapuskan syirik dan penyembahan berhala.
2-Mendidik masyarakat jahiliyyah ke arah pemikiran yang rasional dan berfikir secara logik
3-Menanamkan perasaan kasih sayang sesama manusia dan menjana sistem perundangan yang adil.
4-Memberikan hak dan keistimewaan kepada golongan wanita.

Secara kesimpulannya, ciri-ciri visi dan misi Rasulullah s.a.w adalah seperti berikut:
i. Jelas dan tahu arah tuju
ii. Bertindak ke arah visi yang telah ditetapkan dengan penuh semangat.
iii. Sentiasa menilai dan bermuhasabah sama ada tindakan yang diambil itu berjaya atau tidak.
iv. Sentiasa mengubah misinya supaya sentiasa menuju ke arah visi dan tidak tergelincir dari landasannya. (Always keeps the mission on track)

Semoga kita dapat mempraktikkan apa yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w dalam melakarkan visi dan seterusnya melaksanakan visi tersebut melalui misi yang telah dirancang.

1 comment:

Anonymous said...

baca juga artikelku
http://www.muhammadzaidan.wordpress.com
thank's