BUKU TERKINI

Thursday

Berjaya atau gagal pilihan sendiri



“Untuk cemerlang memang banyak halangannya tetapi untuk tidak
cemerlang pun apa kurangnya”

Kedua-duanya sama susah. Sebagaimana hendak berbuat jenayah, ia sama susah dengan hendak berbuat jasa. Seorang penjenayah terpaksa bersembunyi dengan susahnya tatkala melakukan jenayahnya. Seorang dermawan terpaksa berusaha keras mencari lebihan harta untuk menyalurkan bantuan, itu juga susah. Namun, susah seorang penjenayah mendatangkan bahaya dan bala, sedangkan susah seorang dermawan mendatang pahala dan laba.

Untuk jatuh ke dalam longkang, itu payah. Kena cari longkang dan kena pura-pura tidak berupaya melebarkan langkah. Maka jatuhlah ke dalam longkang. Untuk melompati longkang, itu pun payah. Setelah mencari longkang kena ukur keupayaan sama ada mampu melangkah atau sebaliknya. Kalau mampu teruskan saja, kalau tidak binalah titi. Itu susah tapi berbaloi sebab selamat dan bakal memudahkan ramai orang.

Untuk berjaya atau gagal itu sama susah. Maka pilihlah berjaya sebab berjaya hasilnya lumayan. Ramai orang tidak kuat berusaha kerana menyangka untuk berjaya itu amat susah. Sebenarnya untuk gagal ada kalanya lebih susah.

Ketika perompak merangka strategi rompakannya, mereka bukan setakat mengkaji lokasi, malah mungkin juga psikologi mangsa dan matematik berasaskan logik dan kreatif. Bukan sehari, kadang-kadang hingga berminggu-minggu. Pelbagai kemungkinan dirangka, pelbagai cara dan taktik difikirkan. Mereka juga tentu telah bersusah payah untuk mendapatkan senjata api.

Setiap perbuatan jahat menempa risiko yang amat besar. Kalau pun berjaya, mudahkah hasil rompakan itu dibelanjakan? Hidup dalam ketakutan, tidak lagi mengenal erti merdeka, apakah itu nikmat?

Seorang pahlawan apabila berjaya dalam tugasnya, lalu dia mendapat pujian raja serta diberikan pangkat. Kejayaan pahlawan ini tidak mudah diterima oleh semua orang, terutama pahlawan lain yang sama kedudukan dengannya. Merasakan dirinya terpinggir dia merancang sesuatu apabila tiba masanya nanti.

Masa yang dinanti itu pun tiba. Suatu hari raja memerintahkan kedua-dua pahlawan berkenaan mengetuai pasukan pergi memerangi pemberontak di sempadan. Kesempatan ini diambil oleh pahlawan yang memusuhinya untuk melaksanakan satu rancangan jahat.

Akhirnya, di medan pertempuran, mereka bukan berperang dengan musuh tetapi berperang sesama sendiri. Setelah kedua-duanya tercedera dengan teruk dan akhirnya tertawan barulah mereka sedar, pangkat dan pujian tidak berguna lagi dalam keadaan begitu.

Bukankah baik sekiranya mereka berjuang bersama-sama dan akhirnya kembali membawa kemenangan dan menjulang pujian daripada bersama-sama menanggung penghinaan sebagai tawanan perang.

Dalam hal demikian, kedua-dua pahlawan adalah bersalah. Mendapat pujian dan menerima sanjungan raja itu penting tetapi di medan pertempuran hal itu bukan utama. Yang lebih patut adalah kemenangan dan pulang dengan kemuliaan. Bukankah lagi baik berjaya dalam peperangan daripada gagal dalam peperangan? Siapa yang menjadi pemimpin tidak penting, siapa yang patut dipuji juga tidak penting, siapa yang bakal diarak mengelilingi kota juga tidak penting, yang penting pulang dengan selamat.

Sesungguhnya untuk gagal dan untuk berjaya itu sama susah. Setiap orang di sekeliling kita adalah aset kita membina kecemerlangan dan kegemilangan. Jika mereka berjaya anda turut berjaya, jika mereka gagal anda lebih dulu gagal. Pilihan terletak di tangan anda sendiri.

1 comment:

Raja Marzuqi said...

Kalau kita berjaya dalam sesuatu pimpinan atau berjaya dan dapat bantuan dalam satu-satu hal jangan mudah dikaitkan dengan keutamaan diri kita kerana pernah pemuda bertemu dengan Nabi Khidir a.s. lantas bertanya: "Mengapa saya dapat bertemu tuan?". Nabi Khidir menjawab,"Dengan berkat ibumu."

SALAM UKHWAH...saya link blog saudara.