Lebih kurang      30 tahun yang lalu, iaitu 1974, masyarakat melayu telah gempar      dengan lahirnya seorang anak melayu yang telah mampu membaca      akhbar pada usia tiga tahun. Hampir kesemua media membuat      liputan. Hari ini, perkara sebegini bukanlah sesuatu yang      mengkagumkan. Dengan adanya pelbagai kemudahan dan teknologi      multimedia, ramai anak-anak yang boleh membaca pada usia      sebegini. Tetapi pada 30 tahun yang lalu, diawal 70an pastilah      kebolehan seperti ini dikira sebagai menakjubkan. Lebih-lebih      lagi anak melayu ini hanya anak orang kampung dan tinggal di      luar bandar. Prof. Diraja Ungku Aziz pernah membawa anak ini      balik ke tempatnya untuk diberikan ujian IQ. Pengarah Filem      Dato’ Jins Shamsudin pula menjadikannya pelakun kecil. Begitulah      hebatnya anak yang bernama Mohd. Sohkeri Hadapi Aziz ini.      Melihat kepada kebolehan dan kehebatan anak maka tidak hairanlah      kalau hari ini beliau menjadi doktor atau pensyarah muda.
Tanggal 22 November 1997 masyarakat melayu sekali lagi      digemparkan. Kali ini oleh peristiwa seorang anak muda yang      bekerja sebagai pembuat roti canai telah didakwa kerana memiliki      enam paket kecil ganja. Beliau telah didakwa dibawah Seksyen      Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 1983) dan dijatuhkan hukuman      penjara selama 12 bulan.
Apa kaitannya antara dua cerita yang dinyatakan di sini?      Kaitannya ialah inilah orangnya yang menjadi tajuk perbualan 30      tahun yang silam. Inilah dia Mohd. Sohkeri yang pernah      dibanggakan dulunya. Beliau jauh sekali dari dikatakan berjaya.      Malah apa yang beliau lakukan hari ini langsung tidak      menggambarkan kebolehan sewaktu kecil beliau. Rendahkah IQ      lelaki ini? Tidak sama sekali. Tidak berkebolehankah lelaki ini?      Jauh sama sekali. Silapnya ialah kerana ia tidak pernah terdedah      kepada ilmu kecemerlangan diri dan pembentukan sikap pula tidak      menguntungkan diri serta masa depannya.
Pastinya lebih ramai lagi.      
Saya yakin, kalau perkara seperti ini boleh berlaku kepada      seorang individu, ia juga telah berlaku, sedang berlaku dan akan      terus berlaku kepada ramai lagi manusia lain. Berapa ramai lagi      agaknya yang senasib beliau. Kita hanya mendengar cerita Mohd.      Sohkeri. Bagaimana pula dengan begitu ramai yang mungkin waktu      kecilnya cemerlang kini tidak mampu meneruskan kecemerlangan      ini. Saya sendiri telah menemui begitu ramai pelajar yang      mendapat 5A dalam UPSR, atau 8A dalam PMR, akhirnya kecundang      dalam SPM. Persoalannya adakah mereka yang gagal dalam kehidupan      hari ini selayaknya gagal? Atau mereka tidak tahu yang      sebenarnya dalam diri mereka ada sebutir permata yang tinggi      nilainya dan belum digilap. Inilah yang dikatakan sikap. Tidak      ada ertinya IQ yang tinggi serta kebolehan yang luarbiasa tetapi      malas berusaha, tangguh kerja, main-main dan ambil mudah. Mereka      ini berpenyakit tetapi tidak menyedarinya. Kalau AIDS dan JE      boleh membunuh diri, penyakit sikap ini pula boleh membunuh      harapan dan masa depan.
Bagaimana sikap terbentuk?      
Sikap adalah sesuatu yang dipelajari melalui pengamatan,      pendengaran dan pengalaman. Dengan kata lain, sikap adalah      tindakan dan tingkahlaku diri berlandaskan cara fikir seseorang      individu. Dua orang yang mempunyai cara fikir yang berbeza akan      bertindakbalas secara berbeza juga terhadap sesuatu peristiwa      atau persekitaran. Cara fikir mengubah tingkah laku seseorang      dan mempengaruhi sikap seseorang. Cara fikir sebenarnya sesuatu      yang dipelajari dan ditiru melalui sumber-sumber seperti:
• Orang sekeliling - Ibu bapa, guru-guru, rakan-rakan, idola
• Pengaruh media - TV, radio, internet
• Bahan bacaan - novel, majalah, akhbar, buku-buku.
• Persekitaran - Agama, bangsa, kebudayaan
• Peristiwa silam - besar atau kecil
• Pengalaman
Sebab itulah ada pepatah yang mengatakan bapa borek anak rintek.      Kalau bapa jenis panas baran maka anaknya berkemungkinan juga      demikian. Tetapi tidak pula semua anak berkelakuan serupa      seperti bapa. Mungkin anak yang lain pula cukup mengkagumi      gurunya dan kebetulan pula guru seorang yang penyabar maka sikap      sabar ini mempengaruhi anak. Maka sikap panas baran bapa tidak      ditiru oleh anak ini kerana dia dapat menilai bahawa sikap itu      tidak menguntungkan sesiapa. Sebaliknya, pengaruh guru lebih      besar atas diri anak ini dalam dalam pembentukan sikapnya.
Jadi seorang anak membesar dengan meniru tingkah laku orang      lain. Sikap-sikap negatifnya mungkin diperolehi daripada      gabungan pelbagai sumber. Pemarah macam ayah, boros macam emak,      malas macam abang, pakaian macam artis, buang masa macam      rakan-rakan dan sebagainya. Begitu juga dengan sikap positifnya      juga ditiru dari orang lain. Berani macam ayah, bercakap benar      macam emak, suka mencuba macam abang, gigih macam artis pujaan      dan hormat ibu bapa macam rakan.
Satu kelemahan otak ialah ia menerima segala maklumat yang      dilihat, dirasa dan didengar ini, tanpa sekatan sama ada positif      atau negatif. Apabila mesej yang sama diterima      berulang-ulangkali maka sedikit sebanyak mula terbentuk      kepercayaan dalam diri bahawa tidak salah untuk menerima pakai      atau meniru cara orang lain ini. Keadaan ini berlaku diluar      kesedaran seseorang. Ia berlaku dalam tempoh masa yang panjang      sebelum menjadi lazim dalam pemikiran. Setelah ia menjadi      kebiasaan segala tindak balas kita menjadi spontan dan kerap      kali tindakan kita diluar kawalan diri.
Bolehkah sikap diubah?      
Sikap yang negatif boleh diubah kepada positif hampir serta      merta. Misalnya anda membonceng motosikal rakan. Rakan anda      membawa motosikal dengan laju dan gopoh-gapah. Anda tumpang      seronok. Akibatnya berlaku kemalangan dan rakan anda mati      ditempat kejadian. Ketika itu juga anda berkemungkinan besar      mula mengubah sikap anda apabila membawa motosikal. Walau pun ia      berlaku hanya sekali dalam kehidupan, tetapi pengalaman tersebut      cukup menyakitkan dan menyedihkan. Ia mengubah cara fikir anda      serta merta. Sikap anda juga berubah serta merta. Satu peristiwa      mengubah segalanya.
Sebenarnya untuk berubah anda tidak memerlukan masa yang      panjang. Masa yang panjang sebenarnya untuk kita mengumpul      maklumat dan membina keyakinan serta kepercayaan sememangnya      perubahan diri itu sesuatu yang mesti dilakukan. Setelah anda      membuat keputusan tentang perlunya berubah maka perubahan      berlaku serta merta. Masa yang panjang ini sebenarnya boleh      disingkatkan dengan syarat anda mendapatkan maklumat yang      diperlukan untuk menyokong kepercayaan anda untuk berubah itu      sekarang. Anda perlu mendapatkan maklumat dari orang yang boleh      memberikannya kepada anda. Ramai yang tidak menyedari bahawa      sikap ibarat pakaian yang boleh dipilih untuk disarungkan      kebadan. Bagaimana mudahnya menukar pakaian begitu juga mudahnya      mengubah sikap. Dengan syarat tahu rahsia dan kaedahnya.
Untuk berubah sikap, setiap kepercayaan dan pegangan hidup yang      negatif perlu digugat, dicabar, dibenci dan kemudiannya      digantikan dengan alternatif yang baru. Proses ini lebih mudah      dilakukan sekiranya dibantu oleh seseorang yang pakar dalam      bidangnya. Perhatikan sejenak, adakah sikap anda selama ini      membolehkan anda menggunakan sepenuhnya potensi diri yang ada      pada diri anda? Setiap kali guru memberikan markah ujian, cuba      tanyakan diri anda, adakah ini yang terbaik boleh dilakukan oleh      anda? Kalau tidak, apa yang menghalang anda melakukan yang      terbaik? Tiada yang menghalang kecuali diri anda sendiri. Kalau      anda tidak mengubah sikap dan cara fikir anda sekarang, anda      juga pastinya mencapai sesuatu yang serupa 5 - 10 tahun yang      akan datang. Yang berubah ketika itu mungkin lokasi anda,      rakan-rakan anda dan fizikal luaran anda tetapi dalamnya tetap      sama. Kalau sekarang anda gagal di sekolah maka 5-10 tahun akan      datang anda bakal gagal pula di alam pekerjaan. Sebab itulah      anda perlu berubah, dan perubahan itu perlu dilakukan sekarang!      Ingat, Allah s.w.t telah berfirman yang mafhumnya, "tidak akan      aku ubah nasib sesuatu kaum itu sehinggalah mereka ubah apa yang      ada dalam diri mereka sendiri"
Dipetik dari laman web Dr.Tengku Asmadi
BUKU TERKINI
Monday
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 





 
 
 Posts
Posts
 
 
2 comments:
Sdr Azrul,
macam2 ada dalam blog hang no...I'll open some of the related journals
Hozi
Terima kasih kerana sudi ziarah blog ni
Post a Comment