BUKU TERKINI

Monday

Lagi Diskusi Tentang Tom Tom Bak

Terima kasih kepada semua yang memberikan respon tentang rancangan Tom Tom Bak. Ada yang memberikan kebaikan, ada yang menyatakan sebab-sebab di’haram’kan rancangan tersebut di rumah mereka. Saya sempat berdiskusi dengan beberapa orang yang tidak suka dengan rancangan ini, dan antara rumusan diskusi tersebut ialah:

1. Rancangan tersebut tidak sesuai untuk kanak-kanak kerana ia menanamkan budaya berhibur yang keterlaluan dalam pemikiran kanak-kanak. Budaya hidup tanpa tujuan-melainkan berhibur ini juga biasa disebut sebagai ‘hedonisme’. Sedangkan Allah ada menyebut di dalam al Quran yang bermaksud, “Adakah kamu mengira bahawa hidup ini adalah untuk keseronokan dan permainan?”. Itu adalah tempelak Tuhan kepada hamba yang tidak tahu tujuan asal manusia.ttb_sensasi.jpg

2. Jika dari kanak-kanak lagi asyik disogok dengan menyanyi, mimik penyanyi, tarian gelek, berlawak, cakap lepas, kurang ajar dengan orang tua + berkelakuan tak senonoh + lucah (walaupun sekadar lakonan, tetapi diketawai oleh semua penonton), maka itu bukan mengajar anak tentang kehidupan.

3. Benar, tampil di atas pentas boleh meningkatkan keyakinan diri, tetapi faedah ini hanya untuk orang yang membuat persembahan, BUKAN kepada penonton. Lagipun, keyakinan diri ada konsep yang subjektif. Jika anda membuat persembahan gelek di atas pentas, anda mungkin yakin menari gelek di tempat lain, tetapi belum tentu yakin untuk menjawab soalan guru di dalam kelas, belum tentu yakin berhujah dan berpidato, belum tentu yakin mengutarakan pandangan dalam perbincangan kelas. Kalau yakin gelek punggung, tapi otak dibina- bagaimana hendak membina tamadun negara ini? Dengan anak-anak yang YAKIN DIRI untuk gelek dan menyanyi? Namakan tamadun dunia yang dibina oleh penyanyi, penari dan pelakon? Yunani? Babylon? Greek? Rom? Moghul? Delhi? Ming? Zhou? Aztec? Abbasiyyah? Renaissance?

Semua tamadun dibina dengan daya berfikir yang tajam dan berkualiti.

4. Jika benar pun hendak memberi peluang anak naik ke pentas, kenapa dibiarkan menyanyi lagu-lagu cinta? Memuji kekasih, bentuk tubuh yang seksi, kerinduan yang tidak dapat ditahan, kecewa kerana putus cinta, dan bermacam lagi lagu yang tak patut didengari (apatah dinyanyikan) oleh kanak-kanak. Adakah mereka sudah layak mencari bakal suami dan isteri? Kita nak mereka kawin umur berapa tahun?

Alangkah baiknya jika TTB menapis lagu-lagu. Biarlah mereka menyanyi lagu yang membina motivasi dan minda. Ada ribuan lagu lain yang boleh mereka nyanyi dan membina keyakinan diri. Adakah kita hendak melahirkan generasi yang korup pemikirannya? Kalau tarian tu, zapin dan rodat tiada masalah. Ini sampai tarian gelek erotik dengan lenggok tubuh ala-ala coyote ugly. Apa idea yang kita hendak tanamkan dalam pemikiran anak-anak kita? Menjadi penari gelek itu bagus untuk masa depan yang cemerlang?

5. Kanak-kanak adalah kain putih. Tahap pertimbangan mereka adalah rendah. Mereka mudah menerima idea yang diterima. Semasa persembahan TTB, apabila kanak-kanak cakap merapu, semua penonton tepuk tangan, senyum dan ketawa. Keluarga di rumah juga buat perkara yang sama. Apa maknanya? Itu maknanya ‘pengiktirafan sosial’ yang tinggi. Tepuk tangan dan senyum ialah tanda penerimaan dan perhatian. Kanak-kanak mahu diterima. Mereka inginkan perhatian. Secara mudah, kalau mereka nak perhatian; mereka perlu pandai menyanyi, menari, gelek, merapu, cakap lepas, kurang ajar, dan ala-ala lucah. Mereka tidak perlu fokus dalam kelas, buat latihtubi, menghafal pelajaran, buat kerja rumah, fahami semua aspek dalam bab yang dipelajari, cekap menjawab soalan algebra, ingat proses fotosintesis, tahu falsafah Nebuchadnezzar, dan mereka tidak perlu solat 5 waktu. Ini belum tentu memberikan dan PENGIKTIRAFAN dan PERHATIAN.smarter_than_a_5th_grader.jpg

Ada lagi, tapi akan bersambung kemudian. Sementara tu, anda ada idea tentang persoalan ini?

P/S: Menunggu bilalah lagi ada rancangan yang mengiktiraf, mengkagumi dan memberi perhatian kepada kanak-kanak yang benar-benar berkualiti, yang layak untuk mendukung tamadun negara. Ada satu rancangan “Are You Smarter Than a 5th Grader?” yang bagi saya baik untuk psikologi anak. Apakah kebaikan rancangan itu? Tunggukan analisa seterusnya…

1 comment:

Nur Suliana said...

betul2..sy setuju..selame ni,nilah yg nk diluahkan..tp tak terkate sbb trlalu terkilan dgn industri hiburan tempatan sini. (nonsense)