Semasa saya berada di sekolah rendah, guru bahasa Melayu selalu menyuruh saya membuat karangan mengenai impian saya 10 tahun dari sekarang. Semasa saya menyiapkan karangan tersebut, saya tidak pernah memikirkan kenapa guru saya selalu menyuruh saya menggambarkan masa depan saya. Apabila saya mengambil keputusan UPSR dia datang kepada saya dan berkata: “Azrul, banyak orang takut untuk melihat kebenaran apakah yang mereka mampu untuk jadi pada masa hadapan. Jadi, untuk bejaya kita perlu pandang ke hadapan atau berfiran futuristik!” Sekarang saya tahu, memandang ke hadapan akan mengubah kehidupan kita pada masa hadapan.
Berfikir futuristik boleh mendidik kita makna sejarah semalam dan kesan yang sedang ditanggung pada hari ini dan membolehkan remaja merancang untuk kebaikan dan kecemerlangan hari depan. Sejarah semalam bagi kita adalah sejarah kejayaan dan kegagalan.
Kejayaan harus ditingkatkan ke tahap yang lebih cemerlang. Kegagalan mesti diatasi secara sedar dan bijaksana. Maka barulah hari ini dan esok berlalu dalam arah yang jelas. Ramai orang dewasa menyesal pada hari esok kerana tidak belajar daripada kesilapan semalam dan terus melakukan kesilapan pada hari ini hingga menyebabkan nasi sudah menjadi bubur dan akhirnya menanggung beban hidup yang berpanjangan akibat lalai dan lupa terhadap diri pada masa yang lalu.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan sekiranya diketahui esok adalah hari kiamat dan pada tangan terdapat sebiji benih, maka tanamkan biji benih itu supaya ia hidup dan subur. Pesan Nabi Muhammad s.a..w itu melihat secara futuristik tentang janji hidup dan usaha. Baginda juga bertemu dengan para sahabatnya yang sedang melakukan proses pendebungaan kurma lalu bertanya, “Apa yang sedang kamu lakukan wahai sahabat?” Para sahabat menyatakan mereka sedang melakukan usaha dan ikhtiar mencantumkan benih kurma dengan harapan hasilnya baik pada masa depan. Nabi Muhammad s.a.w menjawab, “Kamu lebih tahu urusan duniamu, silakan.” Sifat futuristik dan menghargai keahlian serta kepakaran yang ada di kalangan para sahabat adalah pendirian Nabi Muhammad s.a.w.
No comments:
Post a Comment