BUKU TERKINI

Wednesday

Penyampaian dan perkongsian visi Rasulullah s.a.w.





Nabi Muhammad s.a.w mula melaksanakan visinya iaitu untuk mengajak manusia menyembah Allah s.w.t dan meninggalkan penyembahan berhala. Visi Rasulullah s.a.w ini dikongsi oleh beberapa orang sahabat pada ketika itu secara rahsia. Cara ini dilakukan bagi mengelakkan tindakan buruk orang-orang Quraisy yang fanatik terhadap berhala-berhala ciptaan mereka sendiri. Rasulullah adalah seorang pemimpin yang berstrategi apabila menyampaikan visinya ini secara berperingkat iaitu kepada ahli kerabat yang mempercayai ajarannya terlebih dahulu. Antara mereka adalah Khadijah binti Khuwailid, Ali bin Abi Talib, Zaid bin Harithah, Abu Bakar bin Abu Quhafah, Uthman bin Affan, Zubair bin Awwam, Abdurrahman bin Auf, dan Saad bin Abi Waqash.
Konsep usrah juga telah diperkenalkan oleh Rasulullah s.a.w untuk menyampaikan visinya. Ketika orang-orang yang memeluk Islam telah lebih dari tiga puluh lelaki dan wanita, Rasulullah s.a.w telah memilih rumah salah seorang dari mereka iaitu rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam, sebagai tempat pertama untuk mengadakan sesi usrah untuk pembinaan diri dan pengajaran.
Nabi Muhammad s.a.w bukan sahaja memiliki visi yang jelas, tetapi berkongsi visinya itu bersama dengan para sahabat melalui cara hidup baginda dan sisitem pendidikan yang mantap sehinggalah mereka memahami, menghayati, menjiwai dan mengaplikasikan visi tersebut.
Peter M. Senge di dalam bukunya The Fifth Discipline berkata: “Kumpulan yang Berjaya biasanya mereka yang mengamalkan perkongsian visi. Perkongsian visi mampu menaikkan semangat dan menjadikan manusia sanggup berkorban bagi mencapai matlamat yang lebih tinggi…Ia menghilangkan semangat ‘keakuan’ dalam diri seseorang dan sebagai gantinya melahirkan semangat ‘kekitaan’. Di samping itu, ia meransang ke arah pembelajaran dan penguasaan ilmu kerana kedua-dua ini adalah penting bagi mencapai sesuatu visi.
Kesan daripada penghayatan dan pengamalan ini dapat kita lihat melalui ujian-ujian yang dihadapi oleh para sahabat ketika berhadapan dengan pemimpin Quraisy yang telah mengetahui keislaman mereka. Bilal bin Rabah sebagai contohnya adalah seorang hamba kepada Umaiyah bin Khalaf. Umayyah merupakan salah seorang musuh ketat Nabi Muhammad s.a.w. Setelah mengetahui bahawa hambanya telah memeluk Islam, dia menyeksa Bilal dengan membaringkannya di atas padang pasir yang terlalu panas dalam keadaan telanjang. Dia kemudiannya meletakkan batu besar yang panas di atas dada Bilal dan berkata: “ Aku tidak akan membebaskan engkau sehingalah engkau mati seperti ini atau menolak agama Muhammad dan kembali menyemah Laata dan Uzza.
Walaupun menerima siksaan yang hebat, Bilal menjawabnya hanya dengan dua perkataan yang membuktikan kukuhnya imannya iaitu: Ahad! Ahad (Allah itu Maha Esa).
Orang ramai begitu kagum terhadap kegigihan hamba yang hitam ini. Waraqah bin Naufal yang merupakan seorang pendeta Arab menangisi keadaan Bilal sambil berkata kepada Umaiyyah: “Demi Allah, bila kamu membunuhnya dalam keadaan demikian, aku akan jadikan kuburnya tempat keramat untuk dikunjungi oleh para penziarah. Mendengar kata-kata itu, Umayyah bertindak lebih ganas dengan mengikatkan tali di leher Bilal dan diheret di atas jalan yang sangat panas.
Selain Bilal bin Rabah r.a, Ammar dan kedua ibu bapanya juga mengalami ujian yang berat dari Allah s.w.t. Mereka telah memeluk Islam ketika Nabi Muhammad s.a.w memilih rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam sebagai pusat dakwah Islam. Ketika kaum musyrik mengetahui bahawa mereka sudah menganut agama Islam, penyembah-penyembah berhala itu tidak berhenti menyeksa dan menganiaya mereka. Walaupun seksaan itu sangat berat, keluarga Ammar tetap dengan pegangan dan kepercayaan mereka terhadap Allah s.w.t sehinggalah bapanya Yasir dan ibunya Sumayyah gugur syahid menegakkan kalimah Allah s.w.t.
Kisah-kisah ini adalah lambang kejayaan Rasulullah s.a.w kerana baginda telah membentuk para sahabat bertunjangkan aqidah yang mantap. Kejayaan ini adalah hasil visi ketuhanan yang dijiwai oleh baginda di samping kemampuannya untuk berkongsi visinya dengan para sahabat.

No comments: