BUKU TERKINI

Monday

Muhasabah diri untuk berubah dan optimis menerima kegagalan

Gua Hira’
Ketiga masyarakat jahiliyyah bergelumang dengan kerosakan dan kemusnahan akal dan jiwa, baginda s.a.w terasa untuk bersendirian bagi mencari ketenangan dan kebenaran. Maka dengan berbekalkan roti dan gandum baginda pergi ke Gua Hira’ yang terletak di atas Bukit Nur.
Ketiga berada di dalam Gua Hira’, baginda menghabiskan masa untuk beribadat serta merenung tentang kejadian di sekelilingnya serta memikirkan kuasa yang mengawal keseluruhan sistem perjalanan alam. Baginda s.a.w meragui kepercayaan dan pegangan hidup kaumnya yang menyembah berhala dan tidak mempunyai hala tuju yang jelas. Walaupun begitu, pada ketika itu baginda tidak mempunyai panduan yang jelas serta keyakinan tinggi bagi mewujudkan ketenangan dan kepuasan dirinya sehinggalah datangnya Jibril menyampaikan wahyu dari Allah s.w.t.
Sebenarnya pemilihan baginda untuk mengasingkan diri di dalam gua ini merupakan satu perancangan dari Allah s.w.t untuk membawa kekasihNya supaya bersiap sedia untuk menerima serta melaksanakan satu misi agung bagi membawa umat manusia dari kegelapan kejahilan ke arah cahaya Islam.
Setiap jiwa yang tidak tenang pasti mengharapkan sesuatu yang lebih baik untuk dirinya. Oleh itu, berkhulwah (bersendirian) di samping memuhasabah diri merupakan satu langkah yang positif bagi menjauhkan diri dari segala tipu daya dunia dan kerosakan jiwa serta merubah diri ke arah yang lebih gemilang.

Peperangan Uhud
Ketika peperangan Uhud pula , sebahagian besar anggota pemanah yang dipilih oleh Rasulullah s.a.w untuk berada di atas Bukit Uhud telah melakukan kesilapan besar dengan melanggar arahan dari Rasulullah s.a.w supaya terus bertahan di atas bukit walau apa pun yang terjadi samada mereka menang atau kalah. Sebahagian anggota pemanah tersebut bertindak turun dari Bukit Uhud tatkala melihat tentera-tentera Islam yang lain sedang sibuk mengaut harta rampasan pihak musuh. Akibatnya, umat Islam mengalami kekalahan dan ramai di kalangan para sahabat yang tercedera dan gugur syahid mempertahankan ajaran suci.
Walaupun umat Islam di ambang kegagalan pada ketika itu, mereka masih lagi terus bersabar dan bertahan bagi melindungi dan mempertahankan Nabi s.a.w yang dikasihi dan dicintai. Antara sahabat yang berjuang habis-habisan untuk mempertahankan Rasulullah s.a.w adalah Talhah bin Ubaydullah. Al-Bukhariy meriwayatkan daripada Qays bin Abi Hazim, katanya: “Aku melihat tangan Talhah yang lumpuh kerana mempertahankan Nabi s.a.w pada hari peperangan Uhud.” (Sahih al-Bukhari 1/527, 2/581). Dalam kitab al-Iklil, al-Hakim meriwayatkan bahawa pada hari peperangan Uhud, Talhah mengalami tiga puluh enam atau tiga puluh lima luka dan jarinya putus iaitu jari telunjuk dan yang berikutnya.(Fath al-Bari 7/361).
Kekalahan di medan pertempuran Uhud sebenarnya telah menguatkan lagi semangat juang dan keimanan umat Islam kepada Allah serta menerima kekalahan tersebut dengan penuh keinsafan dan kesabaran.
Kekalahan dan kegagalan adalah salah satu perjalanan hidup yang pasti dilalui setiap insan. Apa yang penting, tidak kira sama ada kemenangan mahu pun kekalahan, sebagai seorang Islam semestinya kita perlu bersedia untuk terus tabah berjuang menyusuri liku hidup yang penuh onak dan duri. Jangan kita alpa dibuai kemenangan dan jangan berduka atau bersikap pesimis apabila berhadapan dengan kekalahan dan kegagalan.