BUKU TERKINI

Saturday

ANDA MALU?

Dari Abu Mas'ud, 'Uqbah bin Amru al-Ansori al-Badriy RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda : "Sesungguhnya di antara ajaran yang didapati oleh manusia daripada kalam (perkataan) nubuwah yang pertama adalah: "Apabila kamu tidak malu, maka buatlah apa yang kamu sukai" (Riwayat Al Bukhari)

Huraian Hadis:

  • Malu itu bererti menghindarkan diri daripada melakukan segala perbuatan yang tercela, serta enggan melakukan sesuatu atau enggan meninggalkannya kerana takut mendapat celaan.
  • Sifat malu itu juga adalah warisan para nabi-nabi, oleh itu wajiblah kita berpegang teguh dengan sifat malu yang dikurniakan Allah SWT kepada manusia.
  • 'Maka buatlah apa yang kamu suka' bermaksud apabila sifat malu telah dicabut dari manusia, maka manusia akan melakukan apa sahaja yang dikehendakinya.

Malu itu terbahagi kepada dua bahagian :

  1. Malu secara fitrah – sifat malu yang dikurniakan Allah SWT kepada manusia, di mana manusia itu sendiri akan menjauhkan dirinya dari melakukan segala kemaksiatan dan keburukan
  2. Malu yang diusahakan – sifat malu yang dicapai melalui makrifat kepada Allah SWT; mengetahui dan menyedari akan keagunganNya yang sememangnya Maha Mengetahui terhadap apa jua yang tersembunyi di dalam hati
  • Jika jiwa seseorang itu kosong dari sifat malu yang boleh diperolehi melalui usaha dan hatinya juga kosong dari sifat malu yang bersifat fitrah, maka tidak ada satu perkara pun yang mampu menghalangnya dari melakukan perkara-perkara kejahatan dan yang membawa kehinaan.
  • Sifat malu yang bukan pada tempatnya juga adalah merupakan satu akhlak yang tercela, seperti malu hendak berkerja keras mencari rezeki yang halal, malu bertanya di majlis ilmu, malu hendak mengeluarkan pendapat di dalam mesyuarat dan sebagainya.

Kesimpulan Hadis:

  • Hasil dari adanya sifat malu itu membawa kepada kebersihan diri dari perkara-perkara yang haram. Sesiapa yang memiliki sifat malu itu sehingga menjadi kebiasaan dalam kesemua tindak-tanduknya, maka seseorang itu adalah individu yang bersih secara semula jadi, dan bukannya secara ikhtiar.
  • Lawan kepada sifat malu itu adalah sifat tidak malu, dan ini merupakan satu sifat tercela yang akan menjerumuskan seseorang ke jurang keburukan dan tidak mempedulikan celaan dan cacian dari tindak-tanduknya, sehingga sanggup melakukan kejahatan secara terang-terangan.
  • Sebahagian dari manusia itu ada yang merasa takut dengan hukuman, tetapi tidak pula merasa malu untuk melakukan kejahatan, dan ini adalah kerana disebabkan sifat malu secara fitrah yang telah dicabut dari dirinya.

No comments: